Pempengaruh ditahan bawa kereta ke laut untuk penggambaran
KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang pempengaruh media sosial membawa sebuah kereta ke laut bagi tujuan penggambaran mengundang padah apabila dia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pempengaruh terbabit ditahan dalam Operasi Iman ketika berada 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong pada pukul 6 petang.
Menurutnya, individu itu meletakkan kereta di atas sebuah platform yang ditarik menggunakan bot penumpang, sekali gus melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO).
“Platform itu dibina tanpa peralatan keselamatan yang boleh mengundang risiko kepada kru, penumpang serta pengguna perairan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamiludin berkata, pihaknya turut menahan sebuah lagi bot yang mengiringi penggambaran berkenaan kerana beroperasi tanpa lesen sah Jabatan Laut.
Kedua-dua bot bersama kru dan penumpang berusia 21 hingga 32 tahun termasuk pempengaruh terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kesemua yang ditahan adalah warga tempatan melibatkan enam kru termasuk nakhoda dan enam penumpang. Bot bersama kru dan penumpang dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu pada pukul 2 pagi tadi.
“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen dan melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran,” jelasnya.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang maritim meskipun menyokong kreativiti anak muda dalam sektor pelancongan.
“Semua aktiviti mesti dilaksanakan mengikut peraturan demi keselamatan nyawa dan kelestarian sektor maritim negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang di perairan Terengganu boleh menyalurkan segera ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di 09-6224357,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








