Pesara HASiL, anak perempuan maut nahas dua kenderaan
KLUANG – Seorang pesara Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) dan anak perempuannya berusia enam tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kluang-Kota Tinggi berhampiran Ladang Sindora di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.38 petang itu, mangsa, Musa Md Jais, 72, yang memandu kereta Proton Ertiga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya, Nur Alesya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian, Musa dalam perjalanan dari Kluang menghala ke Kota Tinggi bersama isterinya berusia 54 tahun serta dua anak mereka berusia 28 dan enam tahun.
Menurutnya, sebuah kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 23 tahun bersama kakak, abang ipar dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun pula datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda Civic secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Ertiga dipandu warga emas itu.
“Akibat kejadian itu, pemandu Proton Ertiga mengalami kecederaan parah pada badan, muka dan kedua-dua kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Anak perempuannya yang berusia enam tahun mengalami kecederaan dalaman pada bahagian perut dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HEBHK,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, isteri dan seorang lagi anak mangsa turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala, kaki dan tangan.
Beliau berkata, pemandu Honda Civic serta semua penumpangnya yang masing-masing berusia 34 tahun dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun turut mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Semua mangsa yang cedera dibawa ke HEBHK untuk mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













