Berlari ambil bola, murid darjah dua maut dilanggar lori
KUALA TERENGGANU – Seorang murid darjah dua maut selepas dilanggar lori ketika berlari untuk mengambil bola yang tercampak di atas jalan raya di Jalan Surau Cik Man, Kampung Surau Haji Daud, di sini, petang semalam.
Mangsa berusia lapan tahun dan merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.40 petang ketika lori yang dipandu lelaki dari arah Kampung Surau Haji Daud melanggar mangsa yang keluar ke laluan secara tiba-tiba untuk mengambil bola berkenaan.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada orang awam pada pukul 4.10 petang yang memaklumkan kemalangan membabitkan lori dan pejalan kaki.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan bedah siasat dijalankan malam ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








