Anggota JPJ maut, empat cedera kemalangan dua treler
SEREMBAN – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua treler dan sebuah kenderaan JPJ di susur keluar Senawang, di sini malam tadi.
Komander Operasi Kanan Zon Port Dickson, Penguasa Bomba Ahmad Shukri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 10.55 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dikejarkan ke lokasi dan tiba pada pukul 11.19 malam sebelum operasi menyelamat dimulakan dua minit kemudian.
Beliau berkata, seramai enam anggota bomba terbabit dalam operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan JPJ.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menyelesaikan proses itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shukri berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan berkenaan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu bergerak dari arah selatan menghala ke Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








