LUAR NEGARA

Indonesia terima bantuan negara jiran tangani kebakaran hutan

JAKARTA – Indonesia meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas, dengan perbincangan teknikal sedang dijalankan bagi menentukan kaedah pelaksanaannya.

Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir, berkata Presiden Prabowo Subianto telah meluluskan cadangan bantuan itu, manakala Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) sedang membincangkan pelaksanaannya di peringkat teknikal.

“Bantuan yang ingin diberikan negara jiran telah dibincangkan dan kini sedang diproses.

“Seperti yang kita ketahui, presiden juga telah memberikan kelulusan dan perkara itu kini dibincangkan di peringkat teknikal,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup dengan Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta.

Bagaimanapun, Arrmanatha tidak menyatakan negara yang terbabit atau jenis bantuan yang sedang dipertimbangkan. Malaysia sebelum ini menawarkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan 52 anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 19 September lalu mengumumkan bahawa Prabowo menerima tawaran berkenaan ketika pertemuan mereka di Hambalang, Jawa Barat, sehari sebelumnya.

Singapura turut menyatakan kesediaan membantu Indonesia apabila Menteri Kemampanan dan Sekitaran negara itu, Grace Fu, pada 10 Oktober lalu berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatannya dari Indonesia, Jumhur Hidayat, bagi menawarkan sokongan dalam usaha menangani kebakaran berkenaan.

Arrmanatha berkata, kebakaran itu mendapat perhatian serius Prabowo berikutan kesannya terhadap kawasan terjejas akibat jerebu, manakala keadaan cuaca yang mencabar terus menjejaskan usaha memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, kira-kira 60,000 anggota telah diatur gerak di enam wilayah keutamaan, dengan sokongan helikopter dan pesawat bagi operasi pengeboman air serta modifikasi cuaca.

Mengenai kerjasama serantau, Arrmanatha berkata Indonesia telah memenuhi kewajipan pelaporan berkala menerusi mekanisme Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) sejak Ogos lalu.

Indonesia turut berkongsi data mengenai situasi kebakaran, langkah mitigasi dan perkembangan semasa dengan Sekretariat ASEAN yang bertindak sebagai pusat penyelaras sementara.

Laporan terkini menunjukkan perkembangan positif, termasuk pengurangan jumlah titik panas.

Sementara itu, Ketua BNPB yang baharu dilantik, Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi, berkata beliau akan menilai sumber yang tersedia kepada kerajaan daerah dan pusat, selain mengenal pasti bantuan asing yang boleh dipercepat bagi memperkukuh operasi memadamkan kebakaran.

“Saya akan terlebih dahulu meneliti aset yang tersedia, apa yang sudah boleh kita lakukan di peringkat kerajaan daerah dan pusat serta bantuan dari luar negara yang boleh kita percepat bersama,” katanya kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah di Istana Negara hari ini menurut siaran langsung Sekretariat Presiden.

Kristomei, yang menggantikan Leftenan Jeneral Suharyanto sebagai Ketua BNPB, menegaskan bahawa usaha menangani kebakaran memerlukan tindakan bersama membabitkan masyarakat, pentadbiran daerah dan kerajaan pusat, bukan hanya bergantung pada agensi pengurusan bencana itu. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button