Angka korban Ribut Tropika Senyar di Sumatera cecah 69 orang, dijangka terus meningkat
MEDAN – Jumlah kematian akibat Ribut Tropika Senyar yang mencetuskan banjir lumpur dan tanah runtuh di beberapa bahagian di Sumatera Utara kini mencecah 69 orang dengan lebih 50 lagi masih hilang.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) memaklumkan, hujan monsun yang berlarutan sejak minggu lalu menyebabkan beberapa sungai utama melimpah dan menyebabkan arus deras di kawasan perkampungan lereng bukit.
“Kejadian itu menghanyutkan penduduk, merosakkan infrastruktur serta menenggelamkan lebih 2,000 rumah dan bangunan awam.
“Hampir 5,000 mangsa dipindahkan ke pusat perlindungan kerajaan berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu,” kata BNPB.

Perkembangan itu menyaksikan operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) mangsa diperhebat di kawasan persisir sungai dan kediaman yang ditimbus tanah runtuh.
“Pasukan penyelamat kini bertumpu di kawasan sungai dan runtuhan perkampungan, namun operasi berdepan kesukaran akibat tanah lumpur tebal, bekalan elektrik terputus dan gangguan komunikasi,” menurut kenyataan itu.
Jurucakap polis wilayah, Ferry Walintukan berkata, angka korban dijangka terus meningkat apabila lebih banyak mayat ditemui di kawasan terpencil yang sukar diakses.
“Sehingga semalam, sebanyak 37 mangsa telah disahkan terkorban di Sumatera Utara sahaja manakala 52 penduduk masih tidak dapat dikesan,” katanya.
Imej dari lokasi bencana menunjukkan anggota SAR meredah arus deras dengan berpaut pada tali bagi mencapai mangsa yang terperangkap di rumah masing-masing.
Media sosial utama seperti X sejak semalam dibanjiri video bencana alam di Sumatera Utara yang memaparkan malapetaka seperti banjir lumpur dan tanah runtuh.
Di Acheh, satu blok bangunan sekolah agama, Najmul Hidaya Al- Aziziyah runtuh dalam hakisan tebing sungai.
Beberapa kawasan di Medan dan Padang turut lumpuh akibat banjir besar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








