LUAR NEGARA

Jerebu: Singapura pertimbang ambil tindakan syarikat terkait kebakaran hutan

SINGAPURA – Kerajaan Singapura sedang meneliti syarikat yang mungkin bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan keadaan jerebu di rantau ini semakin buruk, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura sekiranya wajar, selain meneroka kemungkinan tindakan bersama dengan negara lain.

“Jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang diburukkan lagi oleh tempoh cuaca kering yang berpanjangan.

“Kami telah menawarkan bantuan kepada Indonesia dan akan terus bekerjasama rapat dengan negara itu serta rakan ASEAN kami untuk menangani isu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada malam Khamis.

Wong berkata, kerajaan akan melakukan segala yang termampu untuk melindungi rakyat Singapura, selain bekerjasama dengan negara jiran bagi menangani punca jerebu.

“Kita tidak dapat mengawal cuaca atau angin dan juga tidak dapat mengawal secara langsung apa yang berlaku di luar sempadan kita,” katanya sambil menambah kerajaan akan memastikan bantuan tersedia kepada mereka yang memerlukannya. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button