BERITA SEMASA

Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 dipindah ke PICC

PUTRAJAYA – Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9.30 malam, 30 Ogos 2026 ini dipindahkan dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.

Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat sebagai langkah penyesuaian setelah mengambil kira perkembangan semasa.

“Langkah itu dibuat bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan tetamu serta orang ramai, di samping menjamin kelancaran pelaksanaan majlis,” kata jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Pemindahan lokasi itu bagaimanaoun tidak menjejaskan pengisian dan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2026, sebaliknya merupakan langkah bertanggungjawab bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih terkawal dan selesa.

Kenyataan itu turut menyebut, kerajaan akan terus memantau keadaan jerebu dan perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa.

Mengenai keputusan berkaitan pelaksanaan acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos nanti, Jawatankuasa tersebut berkata, ia akan ditentukan berdasarkan penilaian keadaan semasa serta nasihat dan pandangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap situasi terkini keadaan jerebu serta mendapatkan maklumat dan nasihat kesihatan melalui saluran rasmi KKM,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button