Jerebu Sarawak bertambah buruk, lima kawasan catat IPU tidak sihat
KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu di Sarawak bertambah buruk hari ini, dengan lima kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat berikutan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia, yang terus menyumbang kepada kemerosotan keadaan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata dalam satau kenyataan berkata, Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 171 pukul 8 pagi tadi, diikuti Kuching dan Samarahan masing-masing dengan bacaan 154, Sri Aman (139) dan Bintulu (124).
Sebagai rekod, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan, khususnya golongan rentan termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.
“Kualiti udara bertambah buruk hari ini dengan peningkatan jumlah kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, khususnya di Sarawak,” kata JAS dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Memetik data daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang berpangkalan di Singapura, JAS berkata, sebanyak 643 titik panas dikesan di Kalimantan, sekali gus menyumbang kepada jerebu yang menjejaskan rantau ini.
Selain itu, sebanyak 17 titik panas turut dikesan di Sumatera, Indonesia, manakala Malaysia merekodkan 25 titik panas, termasuk 22 di Sarawak serta masing-masing satu di Selangor dan Terengganu.
Buat masa ini, agensi kerajaan telah mengaktifkan pelan tindakan bagi menangani pembakaran terbuka dan masalah jerebu.
“Sekolah dikehendaki menghentikan semua aktiviti luar apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah dan prasekolah akan ditutup apabila bacaan mencapai 200.
“Operasi pembenihan awan juga akan dijalankan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








