BERITA SEMASA

PSRA mungkin ditangguh jika situasi jerebu makin teruk di Selangor – Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor mungkin menangguhkan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang dijadualkan dari 21 hingga 25 September ini jika keadaan jerebu semakin buruk di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memantau situasi semasa termasuk laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Kita tengok kepada situasi… kalau keadaan makin mendesak, kita akan semak… saya tidak boleh buat keputusan terus kerana kita kena tengok laporan Jabatan Meteorologi untuk melihat keadaan cuaca dan persekitaran,” katanya kepada pemberita selepas program Bicara Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Hari Malaysia 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) setakat pukul 4 petang tadi, enam kawasan di Selangor mencatatkan bacaan Index Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi iaitu 188 diikuti Shah Alam (173), Klang (167), Petaling Jaya (166), Banting (164) dan Kuala Selangor (163).

Amirudin berkata, kerajaan negeri mempunyai parameter bagi menentukan tindakan susulan berhubung jerebu termasuk penutupan sekolah apabila bacaan Indeks Pencemar Udara mencecah 200.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang menguruskan pembelian pelitup muka untuk diagihkan secara percuma kepada pelajar sekolah di Selangor.

“Kita akan melihat seberapa cepat proses pembelian itu dan saya juga rasa tiba masa untuk menghentikan aktiviti luar demi kesihatan pelajar… dalam tempoh terdekat, saya akan panggil pihak berkaitan termasuk MetMalaysia untuk berbincang,” katanya lagi. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button