BERITA SEMASA

Anwar rayu rakyat beri peluang kerajaan teruskan usaha selamatkan negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat memberi peluang kepada kerajaan untuk meneruskan usaha menyelamatkan negara.

Beliau mengakui usaha kerajaan mungkin tidak memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mahu segala tindakan dilakukan dengan segera, namun berkata langkah tergesa-gesa boleh mengundang permusuhan.

Anwar berkata, terdapat pihak yang tidak mahu tindakan diambil atau pendedahan dibuat berhubung isu tertentu, termasuk penggunaan istilah berkaitan salah guna kuasa.

“Saya sudah melakukan yang sebaik mungkin. Saya minta maaf kalau ia tidak memenuhi selera orang yang merasakan perlu disegerakan. Tapi harus faham, menyegerakan tindakan juga mengundang permusuhan.

“Tetapi saya berterima kasih kepada yang memberi kepercayaan, dan saya ingin merayu dari lubuk hati saya, berilah peluang kepada kita untuk menyelamatkan negara kita,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Sembang OhhYeahh!, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia mempunyai potensi luar biasa, manakala golongan muda menunjukkan kepekaan dan minat tinggi terhadap masa depan negara.

Beliau berkata semangat serta harapan anak muda dapat dilihat menerusi sambutan Hari Kebangsaan yang disambut dengan penuh semangat.

“Jangan balik toleh dan retrogresif ke belakang. Negara ini harus ke depan, dan dalam tahap yang kita capai sekarang itu dihormati di rantau dan di dunia.

“Jangan sia-siakan peluang ini, itu saja,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa jawatan Perdana Menteri tidak kekal selama-lamanya, sebaliknya perkara lebih penting ialah memastikan negara terus dipelihara.

“Perdana Menteri datang dan pergi, saya insaf perkara itu. Tetapi negara mesti diselamatkan.

“Jangan izinkan kita balik dengan amalan dan budaya benci kepada manusia, benci kepada kaum, dan lebih mudah menerima rasuah serta penyelewengan.

“Negara ini ada kekuatan, jangan rosakkan. Itu harapan saya,” katanya.

Beliau berkata dirinya terbuka untuk menerima teguran dan bersedia memperbaiki kelemahan, termasuk menerusi sesi dialog bersama mahasiswa serta golongan muda.

“Saya mampu ditegur, saya banyak ditegur. Saya Perdana Menteri paling banyak turun ke universiti, dialog, dengar anak-anak dan saya boleh perbaiki di mana yang saya anggap kekurangan serta kelemahan.

“Tetapi saya ingin merayu, jangan izinkan negara ini dihampakan oleh gerombolan yang punyai kepentingan yang akan merosakkan kekuatan sendi kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button