Hakim Danish terlepas podium, akhiri GP Malaysia di tempat keempat
SEPANG – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas terlepas peluang menaiki podium pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu memulakan perlumbaan dari petak ketiga dan mempamerkan aksi cemerlang apabila bersaing dalam kelompok hadapan sejak awal perlumbaan.
Bagaimanapun, persaingan sengit pada pusingan terakhir menyaksikan Hakim Danish terpaksa berdepan cabaran daripada tiga pelumba lain, iaitu Veda Pratama dari Honda Team Asia, Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) dan David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP).
Usaha pelumba negara itu untuk memintas Carpe di selekoh terakhir bagaimanapun tidak berhasil, sekali gus menyaksikan beliau terlepas peluang untuk berada di podium.
Hakim Danish menamatkan perlumbaan dengan catatan ketinggalan 4.410 saat (s) di belakang pemenang, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team yang juga juara dunia.
Pelumba Indonesia, Veda Pratama menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 3.734s di belakang Quiles, manakala Carpe melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








