SIC dijangka bentang kajian kebolehlaksanaan anjur GP F1 November ini
KUALA LUMPUR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka membentangkan kajian kebolehlaksanaan mengadakan perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) di Malaysia kepada Jemaah Menteri, November ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif, pihaknya kini sedang mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan, agensi berkaitan serta pemain industri bagi mendapatkan maklumat dan data yang tepat untuk dimuatkan dalam kajian berkenaan, lapor BERNAMA.
Hasil kajian itu nanti, katanya, akan menjadi antara faktor pertimbangan pihak kerajaan sebelum membuat keputusan sama ada Malaysia wajar kembali menjadi tuan rumah bagi perlumbaan berprestij berkenaan.
“Kami dalam proses menyediakan kajian kebolehlaksanaan untuk membawa semula perlumbaan F1 ke Malaysia. Pada November ini, kami akan membentangkan kertas cadangan tersebut kepada Jemaah Menteri untuk pihak kerajaan memutuskan sama ada bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Dalam tempoh ini, kami menjangkakan untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak kerajaan, agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan data yang dibentangkan adalah tepat,” katanya, baru-baru ini.
Beliau berkata, kajian berkenaan akan memberi penekanan terhadap impak ekonomi sekiranya menganjurkan F1, selain menilai tahap kesiapsiagaan negara khususnya dari segi pengurusan kesesakan lalu lintas serta kemudahan pengangkutan awam.
Mengenai prospek Malaysia untuk kembali menjadi tuan rumah F1, beliau menyifatkan peluang negara adalah 50-50, memandangkan keputusan muktamad bergantung kepada pertimbangan kerajaan terhadap hasil kajian berkenaan.
“Buat masa ini, ia masih 50-50. Sukar untuk saya menyatakan ya atau tidak (sama ada ia akan berlaku atau tidak). Namun, insya Allah, kami akan menyediakan data atau maklumat yang disahkan untuk membantu kerajaan membuat keputusan,” tambahnya.
Sementara itu, mengenai kemungkinan Sepang dijadikan lokasi alternatif bagi perlumbaan antarabangsa susulan ketegangan di Asia Barat, Azhan Shafriman berkata setakat ini SIC belum menerima sebarang pelawaan daripada negara-negara yang terjejas akibat konflik berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan SIC sentiasa terbuka untuk berbincang sekiranya timbul keperluan, dengan mengambil kira tempoh persediaan yang diperlukan bagi menganjurkan sesebuah perlumbaan.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kepada perlumbaan F1 adalah pada 2017.
Bagaimanapun, selepas sembilan tahun, SIC sekali lagi menjadi tuan rumah perlumbaan F1 Grand Prix Bahrain Gulf Air 2026 dari 2 hingga 4 Oktober lepas susulan konflik di Asia Barat serta persetujuan yang melibatkan Formula Satu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), dan kerajaan Bahrain serta Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








