SPR bermesyuarat 6 Nov bincang tarikh penting PRN Sarawak
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 6 November depan bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang ke-13.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima pemakluman pembubaran DUN Sarawak secara rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, hari ini.
“Pemakluman itu memaklumkan pembubaran DUN Sarawak ke-19 seperti termaktub bawah Perkara 21\(2) Perlembagaan Sarawak, berkuat kuasa semalam.
“Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Mesyuarat Khas yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN Sarawak.
“Ia termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media turut akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut selesai,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







