Lelaki Bangladesh dapat kewarganegaraan Malaysia secara sah pada 2025 – JPN
KUALA LUMPUR – Status kewarganegaraan seorang lelaki berasal dari Bangladesh yang tular di media sosial disahkan diperoleh secara sah pada 2025 mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur ditetapkan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, individu berkenaan memperoleh kewarganegaraan Malaysia menerusi proses naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Lelaki itu juga merupakan suami kepada seorang wanita warganegara Malaysia dan telah memegang status Penduduk Tetap (PR) sejak 2009,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan penyebaran dakwaan di media sosial yang mempersoalkan kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu yang menjadi perhatian orang ramai.
Bagi kes kedua yang membabitkan seorang wanita yang didakwa berasal dari Pakistan, JPN memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan susulan aduan yang diterima.
“Penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan. Perkembangan lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Dalam pada itu, JPN memahami kebimbangan masyarakat berhubung isu berkenaan dan menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan status kewarganegaraan melalui saluran rasmi jabatan itu.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial ketika membangkitkan keraguan bagi memastikan semakan dapat dilakukan melalui saluran yang sewajarnya.
Pihaknya akan sentiasa komited untuk memastikan semua urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan dengan teliti, berintegriti serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








