KPT teliti dakwaan mahasiswa IPT terbabit kegiatan ‘sugar baby’
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan maklumat lanjut bagi mengesahkan dakwaan pembabitan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kegiatan ‘sugar baby’ selepas kajian mengenainya tular di media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya ketika ini belum mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah mahasiswa yang didakwa terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, KPT akan meneliti perkara itu, termasuk mendapatkan angka sebenar mahasiswa yang dikaitkan dengan kegiatan berkenaan.
“Kajian memang dibuat untuk kes seperti itu dan sering kali kita dengar mengenainya dalam media dan sebagainya.
“Perkara itu mungkin saya akan sediakan nanti. Kalau ada maklumat kita akan dapatkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial satu kajian yang memaparkan jumlah mahasiswa di setiap IPT yang didakwa terbabit dalam kegiatan pelacuran ‘sugar baby’.
Zambry berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan akan meneliti kesahihan maklumat yang dikemukakan menerusi kajian terbabit.
Beliau turut berpandangan angka yang dilaporkan mungkin berdasarkan anggaran dan tidak semestinya menggambarkan jumlah sebenar mahasiswa yang terbabit.
“Kita akan dapatkan jumlah sebenar, cuma kalau bergantung kepada kajian, apa yang kita hendak buat dan dalam bentuk bagaimana definisinya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








