31 MoU, MOA ditandatangani di Ekspo 2025 Osaka – KPT
PUTRAJAYA – Sebanyak 31 sesi pemeteraian dan pertukaran Memorandum Persefahaman dan Perjanjian (MoU/MoA) berjaya ditandatangani sepanjang penglibatan Malaysia pada Minggu Pendidikan Tinggi di Ekspo 2025 Osaka pada 21 hingga 26 Julai lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, MoU dan MOA tersebut ditandatangani antara 11 buah institusi pendidikan tinggi (IPT) negara bersama IPT Jepun dalam 13 buah bidang strategik termasuk perubatan, ekonomi, perbankan Islam, marin, pertanian dan kejuruteraan.
“Selain itu, pelbagai bentuk aktiviti lain turut dipersetujui, antaranya melibatkan program pertukaran pelajar dan akademia, latihan industri, projek penyelidikan bersama dan pembangunan program akademik yang selari dengan keperluan industri,” kata KPT dalam kenyataan tersebut hari ini
Selain itu, katanya lagi, beberapa sesi padanan perniagaan turut diselaraskan dengan menghimpunkan 11 buah IPT Malaysia dan 20 buah syarikat luar negara.
Program berkenaan bertujuan memperkenalkan IPT Malaysia ke pasaran Jepun di samping menggalakkan kerjasama dua hala dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk (R&D).
“Mengetengahkan tema ‘Study in Malaysia’, minggu berkenaan sarat dengan
pengisian bermanfaat dan jalinan kerjasama strategik, selari usaha KPT memperluas jaringan kolaborasi dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di persada global,” katanya lagi.
KPT dalam masa yang sama turut menggalakkan usaha promosi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa menerusi program Edutourism.
Program itu merupakan gabungan pendidikan dan pelancongan dengan menawarkan 168 pakej daripada 55 rakan sepadan merangkumi 11 kategori utama termasuk budaya, warisan, makanan dan pengembaraan.
Sesi prapelancaran rasmi ‘Edutourism Gateway’, sebuah gerbang digital yang berfungsi sebagai hab informasi sehenti para komuniti global turut berlangsung dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Dalam usaha mempelbagai program pemindahan dan perkongsian ilmu, sebanyak 22 buah sesi perkongsian pocket talk, podcast, serta forum telah dianjurkan dengan fokus kepada topik perkongsian ilmu dan inovasi yang melibatkan 15 buah IPT Malaysia.
Setiap satu IPT turut mengetengahkan kepakaran tersendiri menjadikan ia platform dinamik yang mencerminkan keupayaan dan kebitaraan pendidikan tinggi Malaysia.
Minggu Pendidikan Tinggi yang berlangsung pada minggu ke-15 penganjuran Ekspo 2025 Osaka (bermula 13 April – 13 Oktober 2025) itu mendapat sambutan luar biasa apabila merekodkan lebih 100,00 pengunjung dalam tempoh enam hari penganjuran di Pavilion Malaysia.
Ekspo yang berlangsung setiap lima tahun itu melibatkan penyertaan 158 buah negara menjadi tumpuan dengan kehadiran jutaan pengunjung dari serata dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








