
KPT tidak berhasrat tubuh jawatankuasa baharu untuk kaji dasar pendidikan tinggi
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak berhasrat untuk menubuhkan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) yang baharu, sebaliknya akan memperhalusi dasar sedia ada.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, NRC yang ditubuhkan pada tahun lalu telah memperhalusi dasar semasa dan mengemukakan saranan penambahbaikan bagi tempoh jangka masa pendek dan sederhana, namun skopnya tidak termasuk penetapan hala tuju jangka panjang pendidikan tinggi negara.
“Saya tidak mahu tubuh lagi satu jawatankuasa cukup jawatankuasa itu kerana matlamatnya yang dibuat pada tahun lalu adalah matlamat nasional.
“Maka kita akan garap semula bagaimana kita jadikan dapatan-dapatan daripada NRC ini untuk kita bawa ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapanya pada Majlis Landsan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Dr Zambry berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 akan tamat pada tahun hadapan.
“Saya kira pada tahun ini, sudah tiba masanya untuk kita merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu sebagai lanjutan dan kesinambungan pelan tersebut.
“Oleh sebab itu, saya minta supaya pelan baharu yang akan dibangunkan ini mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Dalam majlis yang sama, Zambry turut menyenaraikan lima fokus utama KPT selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025:
1. Penyediaan bakat terbaik negara.
2. Pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi.
3. Pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.
4. Pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
5. Pemantapan ekosistem pemboleh daya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








