
Inisiatif KPT bantu anak muda B40 capai impian
PUTRAJAYA – Program Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilancarkan sejak 2022 merupakan satu program yang dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi dan galakan kepada pelajar untuk memilih bidang tersebut.
Secara ringkasnya, program tersebut menawarkan lebih banyak peluang kepada pelajar, terutamanya daripada golongan B40 agar mereka juga mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET.

Menurut salah seorang penerima dermasiswa tersebut, Muhammad Muhaimin Nor Azri yang berasal dari Klang, Selangor, dermasiswa ini secara langsung akan membantunya lebih fokus dalam pengajiannnya nanti.
“Kini, saya tidak perlu lagi memikirkan tentang sumber kewangan untuk membiayai kos pengajian dan kos sara hidup setiap bulan.”
“Dermasiswa ini dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga saya, dan sekaligus dapat membuatkan saya lebih tumpukan perhatian kepada pembelajaran,” kata Muhammad Muhaimin yang juga merupakan seorang pelajar dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tersebut.
Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, anak keempat daripada lima beradik ini kini sedang melanjutkan pengajian tahun pertamanya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik. Beliau juga berkata, dermasiswa sebegini perlu diteruskan agar lebih ramai anak golongan B40 mendapat peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran.
“Kita tahu, kebanyakan anak muda mahu menyambung pelajaran, tapi isu utama bagi mereka adalah sumber kewangan.”
“Oleh kerana itu, ramai anak muda yang sebaya dengan saya terus terjun ke dunia pekerjaan dan terpaksa melupakan impian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.”
“Mereka bukannya tamak, tetapi dengan berbuat demikian, mereka berharap dapat meneruskan kehidupan sambil membantu meringankan beban kewangan keluarga,” kata Muhammad Muhaimin lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








