AAN: Pensyarah bukti inovasi akademik sentuh kehidupan nyata
SUBANG JAYA – Penyelidikan yang dihasilkan tidak seharusnya berhenti di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Itulah yang dibuktikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari Universiti Sains Malaysia (USM), apabila inovasinya dalam sistem pengurusan pengeluaran digital berjaya dikomersialkan hingga digunakan lebih 15 syarikat tempatan.
Beliau yang menerima Anugerah Inovasi & Pengkomersialan Produk sempena Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16, berkata kejayaan itu hasil sokongan berterusan ekosistem inovasi dan pengkomersialan yang kukuh di USM.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi USM yang sentiasa menyokong usaha penyelidik untuk menghasilkan inovasi berimpak kepada industri dan masyarakat.
“Hari ini, kita berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan dan harta intelek universiti dan menyediakan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis AAN Ke-16 di sini semalam.

Menurut beliau, inovasi tersebut melibatkan digital production management system (VL DPM) yang berfungsi menukar operasi pengeluaran di kilang kepada bentuk digital, merangkumi proses daripada bahan mentah hingga produk siap untuk pelanggan.
“Kini, lebih 15 syarikat termasuk dalam sektor plastik, farmaseutikal dan besi menggunakan teknologi ini. Melalui projek ini juga, kami dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan-graduan tempatan,” jelasnya.
Dr. Firdaus mengakui, perjalanan untuk mengkomersialkan produk berkenaan bukan mudah kerana pada peringkat awal ia dianggap belum matang untuk pasaran, namun maklum balas positif daripada pengguna awal membuka jalan kepada penerimaan lebih luas.
“Pada awalnya memang sukar, tetapi selepas kami mulakan dengan skala kecil dan mendapat testimoni baik daripada syarikat pengguna, barulah kami dapat menembusi pasaran lebih besar,” katanya.
Baca juga : Pakar arkeologi dinobat Tokoh Akademik Negara
Beliau yang juga pengasas syarikat spin-off USM, Visionlytics Sdn Bhd, memberitahu syarikat itu kini berusia lima tahun dan telah mencatat nilai jualan lebih RM4 juta.
“Setakat ini, teknologi kami digunakan secara meluas dan kami sedang bekerjasama dengan beberapa agensi seperti MIMOS, NCER dan SIRIM untuk memperluas capaian produk ke lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








