BERITA SEMASA

Pelan Pendidikan Tinggi 2026–2035 dibangunkan sepenuhnya kepakaran tempatan – Zambry

PUTRAJAYA – Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang akan dilancarkan tahun ini merupakan pelan jangka panjang pertama pendidikan tinggi negara yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan tanpa melibatkan khidmat konsultan asing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelan tersebut dirangka hasil kebijaksanaan dan kepakaran anak tempatan dengan penglibatan lebih 8,000 pemegang taruh merangkumi akademia, pengurusan institusi, agensi berkaitan serta rakan strategik.

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan kepakaran dalam negara untuk merangka hala tuju pendidikan tinggi yang benar-benar memahami keperluan dan realiti Malaysia.

“Sepanjang pengetahuan saya, ini adalah kali pertama kita membangunkan pelan pendidikan tinggi jangka panjang sepenuhnya menggunakan kepakaran anak tempatan. Kita tidak lagi bergantung kepada konsultan luar yang menelan belanja tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Baca juga : PM lancar RPN 2026-2035 20 Januari, perkukuh mutu ekosistem pendidikan negara

Beliau berkata, sebelum ini pelan jangka panjang lazimnya dibangunkan dengan penglibatan konsultan luar yang memerlukan peruntukan tinggi, namun kali ini kementerian memilih untuk memanfaatkan kepakaran tempatan termasuk ahli akademik dan sarjana dalam serta luar negara.

Zambry turut menegaskan, pelan berkenaan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi memastikan keselarasan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga pendidikan tinggi melalui kerjasama erat antara KPT dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, RPTM 2026–2035 juga disifatkan sebagai ‘living document’ yang membolehkan penambahbaikan dibuat dari semasa ke semasa selaras dengan perubahan landskap pendidikan, teknologi dan tuntutan semasa.

“Kita tidak mahu dokumen ini menjadi dokumen statik. Matlamatnya jelas, tetapi pendekatan dan pelaksanaan boleh disesuaikan mengikut keperluan semasa,” katanya.

Tegas Zambry lagi, RPTM 2026–2035 bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button