Tarikh tutup permohonan UPUOnline dilanjut hingga 19 Mei – Zambry
Lanjutan bagi permohonan fasa kedua beri ruang pelajar buat pilihan lebih tepat mengikut kelayakan dan minat
MANJUNG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melanjutkan tarikh tutup permohonan fasa kedua UPUOnline sehingga 19 Mei ini bagi memberi lebih banyak masa kepada pelajar untuk membuat pilihan kursus yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, lanjutan itu bertujuan memastikan para pelajar dapat membuat keputusan terbaik bagi membentuk masa depan mereka.
“Gunakan peluang ini dengan sebaiknya dan jangan tergesa-gesa dalam membuat keputusan penting. Pendidikan adalah senjata paling kuat yang boleh digunakan untuk mengubah dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman video sempena Majlis Penutup Karnival Jom Masuk U (JMU) 2025 Zon Tengah I di Dewan Merdeka, Pusat Konvensyen Manjung, di sini, hari ini.
Beliau kini berada di Rusia mengikuti lawatan rasmi negara bersama Perdana Menteri.
Selain itu, Zambry turut memberi jaminan bahawa isu kewangan tidak seharusnya menjadi halangan untuk melanjutkan pengajian, sambil menegaskan komitmen kementeriannya untuk membantu pelajar dari semua latar belakang.
“Masuk dan daftar dahulu. Jangan jadikan masalah kewangan sebagai penghalang. Kami akan bantu,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran Karnival JMU sebagai platform penting untuk lepasan SPM, STPM dan STAM untuk mendapatkan maklumat lengkap berkaitan pemilihan kursus, prosedur permohonan UPUOnline serta bantuan kewangan yang ditawarkan.
Menurut Zambry, penganjuran JMU 2025 yang melibatkan 10 siri jelajah di seluruh negara berjaya menarik lebih satu juta pengunjung secara fizikal dan dalam talian, mencerminkan sambutan menggalakkan daripada pelajar dan ibu bapa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








