Malaysia-Rusia perkukuh kerjasama strategik menerusi Mesyuarat JC-ESTC di Vladivostok
VLADIVOSTOK – Malaysia dan Rusia terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) kelima yang berlangsung di Vladivostok, Rusia dari 13 hingga 15 Ogos ini.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia merangkap Pengerusi Bersama JC-ESTC bagi pihak Rusia, Valery Falkov.
Menurut Zambry, JC-ESTC yang ditubuhkan pada 2015 merupakan platform rasmi utama bagi kedua-dua negara menyelaras dan memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
“Mesyuarat kali ini penting bagi menterjemahkan hubungan sedia ada antara Malaysia dan Rusia kepada bentuk kerjasama yang lebih konkrit serta memberikan manfaat bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, ketibaan delegasi Malaysia turut disambut Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, Konstantin Mogilevsky.
Mesyuarat itu melibatkan wakil daripada 18 kementerian dan agensi berkaitan, mencerminkan keluasan skop hubungan Malaysia-Rusia yang merangkumi bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, pertanian serta kerjasama sosial dan kebudayaan.
Dalam pada itu Zambry berkata, antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah usaha memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala, meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik serta teknologi baharu, memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi, selain meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Katanya, dalam sektor pendidikan tinggi, Malaysia turut memberi perhatian kepada usaha memperluas mobiliti pelajar dan akademik, penyelidikan bersama, kerjasama universiti-ke-universiti serta pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan sektor strategik masa hadapan.
“Mesyuarat itu juga menjadi ruang bagi kedua-dua negara menilai kemajuan perkara yang telah dipersetujui sebelum ini, mengenal pasti cabaran yang perlu diselesaikan serta menetapkan bidang keutamaan baharu untuk dilaksanakan secara bersama.
“Malaysia mahu JC-ESTC terus berorientasikan tindakan dan hasil dengan hubungan baik kedua-dua negara diterjemahkan kepada projek, pelaburan, pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi serta peluang baharu yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu katanya, Malaysia dan Rusia mempunyai kekuatan yang saling melengkapi khususnya dalam bidang sains, teknologi, tenaga, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan.
Sehubungan itu katanya, ruang kerjasama antara kedua-dua negara dilihat masih luas untuk diterokai berdasarkan kepentingan bersama dan prinsip saling menghormati.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








