BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lapan maut, lebih 80 cedera dalam serangan terbaharu Rusia di Kyiv

KYIV – Sekurang-kurangnya lapan maut termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun manakala 82 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron oleh Rusia di ibu kota ini awal pagi semalam, menurut pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pentadbiran Tentera Kyiv, Tymur Tkachenko memaklumkan, antara yang cedera termasuk 10 kanak-kanak, paling muda seorang bayi perempuan berusia lima bulan.

Salah satu serangan menyebabkan sebahagian besar daripada unit pangsapuri sembilan tingkat runtuh, mengakibatkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Penduduk terjejas, Yana Zhabborova, 35, yang tinggal di bangunan berkenaan berkata, beliau dan dua anak kecilnya dikejutkan dengan letupan yang memusnahkan tingkap dan pintu rumah mereka.

Menurut Tentera Udara Ukraine, Rusia melancarkan 309 dron Shahed dan decoy serta lapan peluru berpandu Iskander-K dalam serangan menyeluruh malam kelmarin.

Sebanyak 288 dron dan tiga peluru berpandu berjaya dipintas, namun 21 dron dan lima peluru berpandu menepati sasaran.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menyifatkan serangan itu sebagai mesej jelas Rusia
menolak perdamaian yang sedang diusahakan Barat.

“Hari ini dunia sekali lagi menyaksikan jawapan Rusia terhadap usaha damai kita dengan pembunuhan secara terang-terangan,” tegas beliau.

Zelenskyy turut mendesak negara-negara Barat menunaikan janji pertahanan dan mengenakan tekanan lebih tegas ke atas Moscow.

Antara kawasan paling teruk terjejas di Kyiv ialah daerah Solomianskyi dan Sviatoshynskyi, apabila lebih 100 bangunan dilaporkan rosak termasuk rumah, sekolah, tadika, hospital dan institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa tenteranya telah mengambil alih sepenuhnya bandar Chasiv Yar di wilayah timur Donetsk iaitu kawasan berbukit yang disifatkan penting untuk kawalan ketenteraan.

Bagaimanapun, jurucakap tentera Ukraine, Victor Trehubov, menolak dakwaan itu sebagai propaganda semata-mata.

“Ia hanya rekaan. Tiada perubahan situasi pun berlaku,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button