SUKAN

FAM tuntut penjelasan FIFA isu masa tambahan Indonesia-Bangladesh

KUALA LUMPUR — Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan berhubung perubahan tempoh masa tambahan ketika perlawanan Indonesia menentang Bangladesh dalam Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Perkara itu mendapat perhatian FAM selepas masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit berubah kepada tujuh minit ketika perlawanan berlangsung.

FAM dalam kenyataan memaklumkan, penjelasan daripada FIFA diperlukan bagi memperincikan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan berkenaan.

Menurut FAM, pengurusan masa permainan merupakan aspek penting bagi memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus serta mematuhi peraturan pertandingan yang ditetapkan.

“FAM turut berpandangan bahawa perkara ini wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan perlawanan tersebut melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, FAM menggesa FIFA meneliti insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan itu dibuat mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, FAM menegaskan permohonan berkenaan bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan.

Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu berkata, permohonan berkenaan dibuat bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan, selain mengelakkan kekeliruan berhubung insiden berkenaan.

Pada kejohanan itu skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan Singapura 6-0 manakala Indonesia pula meraih dua jaringan pada masa kecederaan untuk menang 9-2 ke atas Bangladesh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button