KBS tidak berkompromi jika ada salah laku dana awam – Taufiq Johari
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan berkompromi sekiranya wujud sebarang salah laku membabitkan dana awam termasuk dalam isu berkaitan audit terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, laporan audit telah dilaksanakan dan sebarang tindakan lanjut perlu berpandukan lunas undang-undang sekiranya terdapat unsur kecuaian atau salah laku.
Menurut beliau, KBS bagaimanapun tidak akan mencampuri urusan pentadbiran badan sukan, namun tetap memberi penekanan terhadap aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan.
“Bagi saya audit telah pun dilaksanakan dan kita akan melihat langkah seterusnya mengikut lunas undang-undang.
“Jika ada kesilapan atau salah laku, kita serahkan kepada pihak berwajib. Tidak ada kompromi khususnya yang melibatkan dana awam dan wang rakyat,” katanya selepas merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Taufiq berkata, rakyat juga berhak mengetahui bagaimana dana sesebuah organisasi sukan diuruskan dengan baik dan telus.
“Kita sentiasa terbuka kepada proses ketelusan termasuk audit, kerana pengurusan dana perlu diketahui secara jelas oleh rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, KBS akan terus menyokong usaha memperkukuh integriti, ketelusan serta tadbir urus sukan negara tanpa mengira mana-mana persatuan yang terlibat.
“Kita terbuka untuk sebarang usaha ke arah memperkukuh ketelusan, namun tindakan sewajarnya perlu diambil oleh pihak berkaitan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








