Pindaan ke atas Akta SPRM 2009 akan bolehkan kerajaan peroleh kembali dana diseleweng
PUTRAJAYA – Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 akan dipinda bagi membolehkan kerajaan memperoleh semula dana yang diseleweng.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pindaan itu bertujuan menambah baik akta berkenaan termasuk dalam hal perjanjian penangguhan pendakwaan (DPA) bagi mewujudkan kaedah ‘penyelesaian’ dalam kes liabiliti korporat.
‘Kita berpandangan kes sedemikian tidak perlu melalui prosiding mahkamah yang agak panjang. Kes di United Kingdom di mana perusahaan mega seperti Rolls Royce yang membabitkan dana berskala besar boleh menjadi panduan.
“Pendakwaan ke atas organisasi terbabit ditangguhkan selepas siasatan selesai, ada sistem pemantauan untuk memastikan mereka mematuhi setiap prosedur ditetapkan,” katanya.
Azam berkata demikian ketika muncul dalam program audio siar Beyond the Headlines kendalian New Straits Times (NST).
Tambahnya, prosedur berkenaan bertujuan mendapatkan semula dana yang diseleweng termasuk menjimatkan kos bagi prosiding kes yang mungkin berlarutan selama beberapa tahun.
“Inisiatif ini antara lain mampu menjimatkan tempoh untuk mendapatkan semula dana yang diseleweng menerusi saluran perundangan sedia ada,” katanya lagi.
Selain pindaan melibatkan DPA, Azam memaklumkan, SPRM turut bercadang memperkenalkan undang-undang yang mampu menghukum penjawat awam yang mengakibatkan kerajaan berdepan kerugian dalam pendapatan.
“Hong Kong ada peruntukan sedemikian dan SPRM meneliti tahap keberkesanannya. Inilah antara beberapa inisiatif yang sedang dipertimbangkan, tetapi semuanya akan mengambil masa.
“Kita perlu melaksanakan kajian dan tinjauan dengan proses berkenaan mungkin mengambil masa hingga tiga tahun,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








