‘Datuk John’ dalang seludup minyak masak tumpas
KOTA BHARU – Seorang lelaki bergelar ‘Datuk John’ yang dipercayai dalang utama penyeludupan minyak masak bersubsidi ke Thailand sejak lebih dua tahun lalu akhirnya terbongkar selepas ditahan bersama tujuh individu lain dalam operasi khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut sumber, sindiket itu menggunakan taktik licik dengan merekrut sekurang-kurangnya dua pegawai penguat kuasa bagi memandu kenderaan mewah yang sarat dengan minyak masak melepasi pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Pegawai berkenaan menerima bayaran beberapa ribu ringgit sebulan untuk melakukan perjalanan berulang kali setiap minggu,” memetik laporan NST online.
Difahamkan, minyak masak bersubsidi diperoleh daripada pengedar berlesen di Terengganu sebelum dipindahkan ke dalam kereta mewah di Kelantan.
‘Datuk John’ akan mengiringi pemandu lori mengambil bekalan sebelum urusan pemindahan dilakukan dan kenderaan dibawa masuk ke Thailand melalui ICQS. Setibanya di Sungai Golok dan Narathiwat, minyak itu diserahkan kepada peniaga tempatan.
Sumber berkata, siasatan masih dijalankan termasuk kemungkinan penglibatan lebih ramai pegawai penguat kuasa yang didakwa sengaja menutup mata terhadap aktiviti berkenaan.
“Proses siasatan agak sukar kerana terdapat percanggahan keterangan antara suspek yang ditahan,” katanya lagi.
Dalam serbuan minggu lalu, pihak berkuasa merampas lebih 11 tan minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








