BERITA SEMASA

SPRM bantu MINDEF perkukuh tadbir urus, bersih rasuah

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam usaha membersihkan isu rasuah, kelemahan tadbir urus serta penambahbaikan sistem perolehan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan komitmen untuk membersihkan isu rasuah dan tadbir urus di kementerian berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama itu akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan Seksyen 7(c), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menasihati serta menjalankan kaji selidik berhubung sebarang kelemahan dan isu tadbir urus dalam agensi kerajaan.

“Saya menyambut dan mengalu-alukan kenyataan Menteri Pertahanan dan SPRM bersedia bekerjasama sepenuhnya bagi membantu kerajaan memperbetulkan mana-mana kelemahan, khususnya membabitkan isu rasuah dan tata kelola,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Baca juga : SPRM sita RM11.4 juta barangan milik bekas Panglima Tentera Darat

Azam memaklumkan, beliau dijadualkan mengadakan kunjungan ke atas Menteri Pertahanan serta Ketua Setiausaha MINDEF pada Rabu minggu depan bagi membincangkan isu-isu sedia ada yang sedang dalam siasatan.

Selain itu, pertemuan berkenaan juga bertujuan membincangkan hala tuju seterusnya dalam usaha pembersihan di dalam ATM, termasuk berdasarkan hasil siasatan SPRM serta maklumat dan data yang telah dikumpulkan sebelum ini.

“Kita mahu betul-betul kali ini memperbetulkan mana-mana perkara yang lemah dalam MINDEF, terutamanya isu melibatkan perolehan,” katanya.

Beliau menjelaskan, isu dalaman lain seperti yang disebut oleh Menteri Pertahanan boleh ditangani oleh pihak kementerian sendiri, manakala SPRM akan memberi tumpuan khusus kepada aspek rasuah, tata kelola serta penambahbaikan sistem yang menjadi tanggungjawab suruhanjaya itu.

Azam menegaskan, kunjungan hormat tersebut bukan sekadar bersifat formal, sebaliknya merupakan tanggungjawab SPRM untuk membantu kerajaan memastikan sebarang kelemahan dan kesilapan dapat diperbetulkan demi kepentingan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button