KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kegiatan ‘mafia korporat’ yang sedang disiasat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, hasil siasatan di peringkat awal hingga kini belum menemukan sebarang penglibatan agensi tersebut dalam kes berkenaan.
“Pada peringkat awal sehingga hari ini, tidak ada lagi penglibatan daripada SPRM. Namun, kita akan meneruskan siasatan seperti yang telah diarahkan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan masih berjalan dan pihaknya perlu merakam keterangan beberapa individu penting termasuk yang berada di dalam serta luar negara.
Menurutnya, usaha untuk memanggil saksi di luar negara sedang diusahakan, namun ia memerlukan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) serta antara agensi dengan agensi berkaitan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menegaskan dakwaan yang mengaitkan agensi itu dengan ‘mafia korporat’ merupakan maklumat yang belum disahkan dan perlu disalurkan melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa.
Terdahulu, laporan media antarabangsa mendakwa kewujudan rangkaian ‘mafia korporat’ yang didakwa menyusup ke dalam agensi penguat kuasa, termasuk membabitkan pegawai kanan dalam skim pengambilalihan syarikat oleh sekumpulan ahli perniagaan.