26 syarikat disiasat berkaitan isu tender perolehan Tentera Darat
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan telah memulakan siasatan ke atas 26 syarikat yang disyaki terlibat dalam isu tender perolehan Tentera Darat, hari ini.
Menurut sumber, kesemua pemilik syarikat berkenaan turut terlibat dalam siasatan tersebut dan tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang akan direman bagi membantu siasatan.
“SPRM telah memulakan siasatan terhadap kesemua 26 syarikat tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang,” katanya.
SPRM pada 23 Dis tahun lalu telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Selain itu, pada 24 Dis lalu, SPRM turut memanggil tiga individu bagi dirakam keterangan berhubung kes terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan berkenaan dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





