BERITA SEMASAKERAJAAN PERPADUAN

Belanjawan 2026: KPN kemuka lima inisiatif perkukuh perpaduan nasional

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengemukakan lima inisiatif utama dalam cadangan Belanjawan 2026 yang berteraskan agenda pembinaan Negara Bangsa inklusif dan harmoni.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, cadangan itu memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti serta pengukuhan semangat kenegaraan demi kesejahteraan rakyat.

“Bagi Belanjawan 2026, KPN mengusulkan lima inisiatif iaitu RM100 juta untuk program Perpaduan dan Identiti Nasional, RM100 juta bagi Keharmonian dan Kesejahteraan Komuniti, RM10 juta untuk program Ini Warisan Kita, RM20 juta untuk Transformasi Pendigitalan serta RM20 juta bagi Premis Perpaduan Kondusif,” katanya ketika berucap pada Sesi Dialog Belanjawan 2026 KPN di sini hari ini.

Aaron turut mengemukakan dua cadangan utama, iaitu insentif pengecualian cukai kepada syarikat yang menyumbang secara langsung kepada program perpaduan di peringkat komuniti dan peningkatan geran aktiviti tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun.

Menurutnya, peningkatan geran itu akan membolehkan KRT melaksanakan lebih banyak aktiviti berimpak tinggi dan inklusif di peringkat akar umbi.

Sesi dialog berkenaan menjadi platform libat urus rasmi antara KPN bersama agensi kerajaan, KRT, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) serta orang awam.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan Belanjawan 2026 bersifat menyeluruh, mengambil kira pandangan semua lapisan masyarakat selain mengukuhkan hubungan strategik dengan pihak berkepentingan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button