RM470 bilion untuk Belanjawan 2026 berbanding RM452 bilion tahun lalu
KUALA LUMPUR – Belanjawan MADANI 2026 memperuntukkan sejumlah RM470 bilion, meningkat daripada RM452 bilion pada tahun lalu, bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam suasana global yang tidak menentu.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata daripada jumlah itu, RM338.2 bilion disediakan untuk belanja mengurus Persekutuan, manakala RM81 bilion diperuntukkan bagi belanja pembangunan.
Selain itu, RM30 bilion akan dilaburkan menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM10 bilion melalui pelaburan awam-swasta, serta RM10 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
“Meskipun ekonomi dunia berdepan perang tarif Amerika Syarikat serta konflik geopolitik, Malaysia masih menunjukkan daya tahan.
“Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama 2025 mencatat 4.4 peratus, manakala unjuran semula bagi tahun penuh adalah antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
“Ini membuktikan asas ekonomi kita kekal kukuh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, bagi tahun 2026, ekonomi negara diunjur berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus, mengambil kira cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia serta sengketa geopolitik dan geoekonomi yang berlarutan.
Beliau menegaskan, kerajaan komited menurunkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus pada tahun 2026, sekali gus memastikan pengurusan kewangan negara kekal berhemah dan terkawal.
Beliau menjelaskan, langkah penurunan defisit ini bermakna jumlah hutang baharu kerajaan terus menurun, daripada RM100 bilion pada 2022, RM92 bilion (2023), RM77 bilion (2024) dan dijangka kekal sekitar RM77 bilion pada 2025.
“Dengan disiplin berterusan, defisit fiskal 3 peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa momentum pertumbuhan ekonomi negara akan terus disokong oleh dasar fiskal mengembang, termasuk usaha mengoptimumkan hasil melalui GLIC, badan berkanun serta syarikat MKD bagi memastikan pembangunan negara berjalan secara seimbang dan mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








