Anwar ingatkan timbalan menteri perkukuh komunikasi, jaga hubungan semua pihak
PUTRAJAYA – Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu diingatkan agar memperkasa komunikasi berkesan dan memelihara hubungan baik dengan semua pihak sebagai asas memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab yang diamanahkan perlu digalas dengan penuh integriti dan kebertanggungjawaban.
Menurut Anwar, hubungan yang kukuh tidak hanya tertumpu di peringkat kementerian dan agensi, sebaliknya perlu merangkumi seluruh lapisan masyarakat bagi memastikan penyampaian dasar dan polisi kerajaan berjalan secara inklusif.
“Amanah ini perlu dipikul sebaik-baiknya supaya setiap dasar dan polisi Kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta benar-benar dirasai manfaatnya oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, sebanyak tujuh menteri termasuk dua lantikan baharu serta lapan timbalan menteri lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri turut menekankan aspek komunikasi yang jelas, tepat dan berterusan sebagai elemen penting dalam tadbir urus kerajaan, khususnya bagi memastikan maklumat sampai kepada semua kelompok masyarakat tanpa salah faham.
Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran.
“Peri pentingnya, aspek komunikasi diperkasakan secara berterusan supaya maklumat yang disampaikan jelas, tepat dan sampai ke semua lapisan masyarakat,” ujanrya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








