BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

Kerajaan lulus RM34.81 juta baiki 137 pondok, tahfiz

IPOH – Sebanyak 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara termasuk lapan di Perak bakal dilaksanakan selepas kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM34.81 juta bagi tujuan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan berkenaan bertujuan melaksanakan kerja pembaikan segera kemudahan asas seperti bumbung, tandas dan bilik darjah bagi memastikan keselesaan pelajar di institusi pondok dan tahfiz.

“Beberapa sekolah pondok, kita lihat keadaannya sangat daif, jadi kita ada urutan beberapa pondok yang kita senaraikan sekarang, ada 137 pondok termasuk lapan pondok di Perak.

“Ini yang kita bagi keutamaan dulu dan saya sedang merencanakan selepas mengumumkan Belanjawan 2026 semalam, bagaimana boleh kita tambah supaya semua kemudahan itu sampai ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kenduri Rakyat Bersama Warga Institut Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di sini, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keutamaan itu menunjukkan kerajaan tidak hanya menumpukan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi turut memberi perhatian terhadap aspek kerohanian serta pendidikan anak-anak sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan MADANI.

Katanya, langkah tersebut juga sebahagian daripada dasar Kerajaan MADANI bagi memulihkan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat yang pernah dihentikan sejak 2003.

“Maka sejak 2022, saya ambil alih dengan kerjasama kawan-kawan dalam Kerajaan Perpaduan ini, saya sudah kembalikan balik peruntukan kepada sekolah-sekolah agama rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru institusi pondok dan tahfiz di negara ini agar menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dengan menguasai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.

“Pihak pondok dan pesantren harus terima kenyataan bahawa beberapa perubahan harus dilakukan tanpa mengganggu pengajaran tradisional, jadi saya hendak cadangkan supaya ditambah mengenai digital dan AI,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button