Had tempoh jawatan PM: Wanita PKR puji langkah berani politik Anwar
KUALA LUMPUR – Wanita PKR menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal sebagai langkah berani dan bertanggungjawab ke arah membentuk budaya politik baharu yang telus, progresif serta demokratik demi kemajuan negara.
Menurut Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim komitmen itu menunjukkan tekad politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyegerakan pelaksanaan janji reformasi, selepas puluhan tahun berjuang sebagai pembangkang.
Beliau berkata, ia juga membuktikan kesungguhan beliau melakukan perubahan ketika memegang kuasa dan bukan selepas kehilangan kuasa.
“Dalam tempoh tiga tahun kepimpinan Anwar, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.
“Wanita PKR yakin, dengan pelaksanaan reformasi institusi berterusan, rakyat akan terus menikmati manfaat daripada kekayaan negara yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ginie berkata, kepimpinan Anwar juga wajar disokong bagi penggal seterusnya bagi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Langkah ini sekali gus membersihkan negara daripada kebejatan dan budaya rasuah demi kebajikan rakyat serta masa depan Malaysia lebih cemerlang.
“Jadi, Wanita PKR menyokong usaha Perdana Menteri untuk terus memimpin dan memperkukuh jentera kerajaan supaya lebih mantap, berkesan dan berintegriti dalam melaksanakan dasar fiskal serta ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








