Rafizi tegas tidak akan keluar PKR
AMPANG – Ahli Parlimen Ampang, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak akan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun menerima surat tunjuk sebab daripada parti itu.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, dakwaan beliau sudah keluar dari PKR adalah tidak berasas selagi beliau tidak menghantar surat rasmi keluar parti atau menyertai mana-mana parti lain dan sebarang usaha untuk menggugurkan kedudukannya sebagai wakil rakyat atas alasan tersebut adalah tidak berasas di sisi undang-undang.
Rafizi dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, beliau telah menerima surat daripada PKR yang meminta beliau menjelaskan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun bukan atas tiket PKR.
Menurutnya, kenyataan itu merujuk kepada perancangan selepas Dewan Rakyat dibubarkan dan apabila beliau tidak lagi terikat dengan peruntukan di bawah Akta Anti-Lompat Parti.
“Selagi saya Ahli Parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar parti, atau saya tidak mengisytiharkan saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai anggota PKR dan Speaker tidak boleh memecat saya dari Parlimen,” katanya.
Rafizi turut menyindir kepimpinan parti dengan mendakwa wujud percubaan untuk memaksanya mengisytiharkan keluar parti supaya kerusinya boleh dikosongkan.
Beliau mendakwa, sekiranya beliau dipecat, kedudukannya sebagai Ahli Parlimen akan kekal, justeru terdapat pihak yang mahu beliau sendiri mengumumkan keluar parti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap kerusinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








