Rafizi gesa kerajaan, TH dan institusi agama segera jelas isu zakat pendeposit
KUALA LUMPUR – Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa kerajaan, Lembaga Tabung Haji (TH) dan institusi agama mengambil tindakan segera bagi menjelaskan isu status pembayaran zakat pendeposit yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, khususnya melibatkan tempoh 2016 hingga 2019.
Menurut beliau, penemuan RCI itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit Islam kerana ia menyentuh persoalan sama ada zakat simpanan mereka telah disempurnakan mengikut hukum syarak.

“Perdana Menteri dan Menteri Agama perlu menjelaskan apakah tindakan kerajaan untuk menangani perkara ini yang menimbulkan keresahan di kalangan pendeposit Tabung Haji, terutamanya bagi tempoh 2016 hingga 2019.
“Adakah Kerajaan MADANI setelah mengambil alih, telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit bagi tempoh tersebut?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rafizi, laporan RCI yang diwartakan minggu lalu antara lain menyimpulkan bahawa pertukaran akad simpanan TH daripada Mudarabah kepada Wadi’ah Yad Dhamanah pada 2016 telah mengubah kedudukan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit.
Beliau menjelaskan, berdasarkan penemuan RCI, di bawah akad Mudarabah, TH bertanggungjawab membayar zakat daripada keuntungan pelaburan sebelum hibah diagihkan kepada pendeposit.
Bagaimanapun katanya, selepas akad ditukar kepada Wadi’ah Yad Dhamanah, hubungan tersebut berubah apabila TH dianggap sebagai peminjam kepada wang simpanan pendeposit.
“Keadaan itu menyebabkan zakat yang dibayar oleh TH hanyalah bagi pihak institusi tersebut, manakala pendeposit berkemungkinan masih bertanggungjawab membayar zakat simpanan masing-masing,” katanya.
Menurut Rafizi, Suruhanjaya Diraja turut berpandangan penggunaan keuntungan pelaburan bagi membiayai sebahagian subsidi haji di bawah akad Mudarabah adalah tidak selaras dengan konsep akad tersebut kerana dilakukan tanpa persetujuan pendeposit sebagai rakan kongsi.
Selain itu, beliau turut menyeru Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), para mufti dan institusi ilmuan agama memberikan panduan yang jelas kepada pendeposit serta menasihati kerajaan dan TH mengenai langkah penyelesaian terbaik.
“TH perlu mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan apa yang telah dibuat untuk melepaskan pendeposit-pendeposit dari tanggungjawab Islam membayar zakat, tatkala mereka ingat zakat-zakat itu telah dibayar oleh TH,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















