JENAYAH & MAHKAMAH

CEO syarikat perkapalan, 6 lagi ditahan bantu siasatan berkaitan TH

PUTRAJAYA – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan bergelar Datuk antara tujuh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan Suruhanjaya Siastaan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Menurut sumber, turut ditahan pengarah syarikat dan bekas pengarah syarikat yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri serta empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji.

Difahamkan, suspek ditahan secara berperingkat kira-kira pukul 3 petang hingga 10.30 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam.

Sumber sama memberitahu, suspek pertama iaitu CEO sebuah syarikat perkapalan berusia lingkungan 60-an ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH.

Katanya, ia membabitkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.

“Suspek kedua dan ketiga yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri berusia lingkungan 60-an pula ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan ke sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat akan disenaraikan ke Bursa Saham Malaysia.

“Empat bekas pengurusan kanan TH berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita pula ditahan kerana disyaki terbabit amalan rasuah.

“Perbuatan itu mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat buah hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi berjumlah SR2.49 bilion (RM2.72 bilion) yang menyebabkan kerugian kepada TH,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman.

Katanya, lima lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana mengalami masalah kesihatan.

Tambah sumber lagi, kedua-dua suspek berkenaan direman lima hari sehingga 19 Ogos ini selepas perintah dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

“Tahanan reman ini adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI TH yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button