BERITA SEMASA

MCMC pandang serius penyalahgunaan AI manipulasi detik duka Tun Dr Mahathir

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

MCMC berkata, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah perkara yang tidak wajar dipandang ringan.

Menurutnya, perkara itu lebih serius apabila membabitkan detik kehilangan dan kedukaan seseorang.

“MCMC telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut.

“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MCMC turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang telah dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.

Katanya, orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi serta melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.

Menurut MCMC, kemajuan AI sememangnya membuka banyak manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai dengan tanggungjawab.

“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button