MCMC peroleh penghakiman ingkar terhadap saluran Telegram Edisi Siasat, Edisi Khas
CYBERJAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Penghakiman Ingkar Pembelaan terhadap pentadbir-pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Keputusan itu dibuat selepas mereka gagal untuk memasukkan kehadiran dan pembelaan terhadap tindakan guaman yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, melalui keputusan tersebut, mahkamah telah mengeluarkan beberapa perintah penting termasuk deklarasi bahawa pentadbir Edisi Siasat dan Edisi Khas telah membenarkan kandungan memudaratkan diterbitkan serta diedarkan terhadap pihak-pihak yang terkilan iaitu institusi awam dan pegawai awam di Malaysia.
“Mahkamah turut memberikan injunksi mandatori yang mengarahkan pentadbir kedua-dua saluran tersebut untuk menurunkan serta-merta secara kekal semua kandungan berunsur palsu, mengancam dan memudaratkan lain yang telah diterbitkan.
“Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir atau mana-mana ejen, pekerja dan sekutu mereka daripada menerbitkan semula, menyebarkan kandungan yang sama serta menerbitkan kandungan baharu serupa yang memudaratkan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, mahkamah juga telah memerintahkan taksiran ganti rugi bagi menentukan ganti rugi am dan gantirugi teladan pada tarikh akan datang.
Katanya, keputusan itu menegaskan prinsip bahawa kebebasan bersuara di platform dalam talian tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan penyebaran fitnah, ugutan, pemerasan atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi individu, keselamatan awam dan keharmonian masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








