BERITA SEMASA

Pelaksanaan PuTERA35 capai 68.55 peratus setakat 31 Ogos

PUTRAJAYA – Tahap pencapaian keseluruhan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) mencapai 68.55 peratus setakat 31 Ogos lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebanyak 628 program pembangunan telah digerakkan kementerian dan agensi, dengan 214 program telah selesai manakala 318 lagi sedang dalam pelaksanaan.

“Mesyuarat turut meneliti langkah memperkukuh ekosistem usahawan Bumiputera, termasuk susulan tujuh deklarasi Konvensyen Usahawan Bumiputera 2035.

“Antara fokus deklarasi berkenaan ialah pembangunan usahawan wanita, melahirkan lebih ramai ‘Bumiputera Champions’, memperluas pasaran eksport serta memperkukuh aspek integriti dan tatakelola,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera hari ini, dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera serta mempercepatkan pelaksanaan PuTERA35.

Dalam pada itu katanya, kejayaan PuTERA35 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya sejauh mana pelaksanaannya mampu meningkatkan pemilikan, penguasaan dan daya saing ekonomi Bumiputera.

Katanya, usaha berkenaan juga perlu memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberikan manfaat terbaik kepada rakyat dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button