Fahmi Fadzil zahir takziah buat Tun Dr Mahathir atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga susulan pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Fahmi berkata, pemergian tokoh yang begitu besar jasanya itu merupakan kehilangan yang amat dirasai, khususnya oleh Dr Mahathir yang selama ini ditemani isterinya dalam setiap langkah dan perjuangan.
Menurut beliau, Tun Dr Siti Hasmah merupakan insan yang menjadi tunjang kekuatan di sisi Dr Mahathir, dengan segala pengorbanan yang dilakukan dalam diam.
“Tun Dr Siti Hasmah adalah seorang wanita yang berdiri teguh di belakang seorang tokoh, menemani setiap langkah, setiap perjuangan, setiap jatuh dan bangun, dalam diam yang penuh pengorbanan.
“Beliau menjadi tunjang kekuatan di sisi Tun Dr Mahathir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, setelah sekian lama melalui perjalanan bersama, Dr Mahathir kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan yang selama ini sentiasa berada di sisinya.
“Takziah buat Tun Dr Mahathir dan keluarga.
“Semoga Tun Dr Mahathir dan keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa, kasih sayang dan pengorbanan Tun Dr Siti Hasmah yang disifatkan akan sentiasa dikenang.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








