BERITA SEMASA

Kabinet arah kajian menyeluruh sistem percukaian hibrid SST-GST

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju supaya kajian menyeluruh dilaksanakan terhadap cadangan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebelum sebarang keputusan dasar dibuat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menurut beliau yang juga Menteri Komunikasi, Kabinet mengarahkan Kementerian Kewangan, khususnya Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, meneliti secara terperinci cadangan berkenaan.

“Menteri Kewangan II diberikan tempoh masa tertentu bagi menyediakan laporan lengkap sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

Fahmi berkata, kajian itu masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian mendalam kerana melibatkan pelbagai aspek sistem percukaian negara.

Katanya, kerajaan tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan GST sebelum ini serta isu yang timbul di bawah sistem SST yang sedang digunakan.

“Ini masih di peringkat awal dan Kementerian Kewangan diberi masa memandangkan ia bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara terburu-buru.

“Ia melibatkan aspek-aspek pengajaran daripada pelaksanaan sistem GST serta isu-isu yang dihadapi berdasarkan sistem SST waktu ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian dan pertimbangan Kementerian Kewangan akan dibawa semula ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk penelitian sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan berkaitan dasar percukaian tersebut.

Ditanya sama ada kerajaan menetapkan garis masa atau tarikh akhir bagi menyiapkan kajian itu, termasuk kemungkinan pengumumannya dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2027, Fahmi berkata perkara berkenaan masih belum dimaklumkan.

Cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak susulan perbincangan mengenai usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara serta memperluaskan asas percukaian.

Buat masa ini, kerajaan belum membuat keputusan untuk melaksanakan sistem tersebut dan sebarang langkah lanjut hanya akan dipertimbangkan selepas kajian menyeluruh selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button