POLITIK

Dasar kerajaan perlu sampai ke hati rakyat – Fahmi

MELAKA – PKR akan terus memperkukuh strategi penerangan parti bagi memastikan segala kejayaan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan dapat difahami serta dirasai secara langsung oleh rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tugas pasukan penerangan bukan sekadar menyampaikan angka atau pencapaian kerajaan, sebaliknya memastikan manfaat dasar tersebut benar-benar memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan komunikasi parti perlu memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan rakyat termasuk kos sara hidup, peluang ekonomi dan kebajikan.

“Kita perlu pastikan apa sahaja yang baik dilakukan kerajaan sampai kepada rakyat, bukan sahaja sampai ke perut tetapi juga masuk ke hati mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Beliau berkata, ketua-ketua cabang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kepimpinan dan rakyat di peringkat akar umbi.

“Justeru, pandangan serta maklum balas yang disampaikan pimpinan cabang perlu diberi perhatian bagi memastikan dasar kerajaan dapat disesuaikan dengan keperluan sebenar rakyat,” katanya lagi.

Fahmi turut mengakui masih terdapat ruang untuk menambah baik aspek komunikasi parti dan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan pasukan penerangan PKR akan bekerjasama lebih rapat dengan Wanita PKR serta kepimpinan cabang bagi memastikan agenda ekonomi dan pembangunan negara dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.

Menurutnya, kejayaan sesebuah dasar tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan statistik atau angka, sebaliknya perlu dilihat melalui perubahan positif yang dinikmati rakyat dalam kehidupan harian mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button