Tiada kompromi pelarian ganggu ketenteraman awam
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana kumpulan pelarian menduduki kawasan awam atau mengganggu ketenteraman awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap kumpulan Rohingya yang berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), hari ini.
Kata Anwar, Malaysia mempunyai peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, justeru mereka tidak boleh memilih mana-mana kawasan bandar untuk dijadikan tempat berkumpul.
“Kita kena tegas. Negara ini ada peraturan, ada hukum. Dia tak boleh memilih untuk ambil mana-mana kawasan bandar. Sebab itu saya dah arahkan Imigresen, polis dan bandar raya. Kita kena ambil tindakan tegas.
“Yang tidak ada permit, dibawa ke Imigresen. Yang ada, kita kena bagi amaran. Kalau tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Anwar menambah, beliau memahami sebahagian daripada mereka sedang cuba mendapatkan perlindungan daripada UNHCR, namun mereka tidak boleh menduduki sesuatu kawasan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
“Saya faham mereka sedang memohon perlindungan daripada UNHCR, tetapi mereka tidak boleh sesuka hati masuk dan menduduki sesuatu kawasan. Negara ini mempunyai undang-undang.
“Kita tidak boleh membenarkan tindakan mereka menimbulkan kebimbangan atau mengganggu keselamatan serta kesejahteraan penduduk tempatan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















