KENDALI MADANI sasar lahirkan 5,000 tenaga kerja mahir sektor penjagaan
KUALA LUMPUR – Yayasan MyPrihatin menyasarkan seramai 5,000 peserta dilatih menerusi Program KENDALI MADANI dalam tempoh tiga tahun bagi memperkukuh tenaga kerja mahir dalam sektor penjagaan, khususnya pengurusan dan penjagaan kanak-kanak serta golongan orang kurang upaya (OKU).
Program dengan kerjasama Ashikin Holdings Sdn Bhd itu diperkenalkan sebagai usaha memperkasa sektor ekonomi penjagaan negara melalui pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kompetensi serta pensijilan kemahiran.
Menurut kenyataan Yayasan MyPrihatin, program berkenaan dirancang untuk dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada latihan berstruktur, peningkatan kompetensi dan pengukuhan amalan penjagaan berkualiti.
“Program KENDALI MADANI dibangunkan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi individu yang terlibat secara langsung dalam sektor penjagaan, termasuk pengendali pusat jagaan, penjaga profesional, tenaga pengajar serta individu yang mempunyai pengalaman dalam pengurusan dan penjagaan golongan OKU,” kata kenyataan itu.
Majlis peluncuran program itu disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Pada majlis itu juga, Yayasan MyPrihatin turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi membangunkan kompetensi dan pensijilan kemahiran dalam bidang pengurusan serta penjagaan OKU.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kualiti sumber manusia dan melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan sektor penjagaan.
Menurut Yayasan MyPrihatin, program berkenaan turut memberi penekanan kepada laluan pensijilan menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), tertakluk kepada syarat dan ketetapan JPK.
“Pendekatan ini diharap dapat membuka peluang kepada tenaga kerja berpengalaman untuk memperoleh pengiktirafan kemahiran secara formal, sekali gus meningkatkan profesionalisme dan kebolehpasaran mereka,” menurut kenyataan itu.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian watikah jalinan kerjasama kepada agensi strategik, termasuk institusi pengajian tinggi, organisasi penyelidikan, badan profesional dan rakan pelaksana.
Jaringan kerjasama itu dijangka memperkukuh perkongsian kepakaran, penyelidikan, latihan serta pembangunan modal insan dalam bidang penjagaan dan pengurusan golongan OKU.
Yayasan MyPrihatin berkata, Program KENDALI MADANI mencerminkan komitmen untuk menyokong pembangunan masyarakat inklusif dengan memperluas peluang latihan dan pengiktirafan kemahiran kepada tenaga kerja dalam sektor penjagaan.
“Melalui gabungan kepakaran industri, institusi pendidikan dan agensi strategik, program ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja penjagaan yang kompeten, profesional dan berkualiti,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








