BERITA SEMASA

KTMB tambah 39 peratus tempat duduk ETS, ERT tahun depan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan hampir 1.58 juta tempat duduk bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi tempoh Januari hingga Mac 2027, meningkat 39 peratus berbanding tempoh sama tahun ini.

KTMB dalam kenyataan hari ini berkata, jualan tiket bagi perjalanan Januari dan Februari dibuka pada 2 November ini, pukul 12 tengah hari, manakala tiket bagi perjalanan Mac mula dijual pada 1 Disember.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1.52 juta tempat duduk diperuntukkan bagi ETS dan 53,280 bagi ERT, menjadikannya penawaran tertinggi KTMB bagi suku pertama tahun depan.

KTMB turut meningkatkan kekerapan ETS daripada 44 perkhidmatan sehari kepada 50 dari Isnin hingga Khamis dan 58 pada Jumaat hingga Ahad. Laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral pula ditambah daripada lapan kepada 12 perkhidmatan sehari.

“Selain itu, Stesen Kuala Lumpur Lama dan Subang Jaya akan dijadikan hab tambahan ETS bagi meluaskan akses penumpang serta mengurangkan kesesakan di KL Sentral.

“Peningkatan kapasiti ini mencerminkan usaha berterusan KTMB dalam menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan bagi memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan rel,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2027, penumpang bagi beberapa laluan jarak jauh, termasuk JB Sentral-Butterworth dan JB Sentral-Padang Besar, perlu menukar tren di KL Sentral berikutan penyusunan semula jadual perjalanan.

KTMB sedang menambah baik sistem tempahan bagi membolehkan tiket perjalanan yang memerlukan pertukaran tren dibeli menerusi satu transaksi mulai Disember ini.

Orang ramai digalakkan membeli tiket lebih awal melalui aplikasi KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMB serta menyemak jadual terkini, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button