BERITA SEMASA

Pinkfish Festival: Penyewa patuhi syarat ditetapkan – KTMB

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (charter train) dalam usaha menjaga kepentingan orang awam dan syarikat itu.

Inisiatif berkenaan diadakan susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan yang diadakan di tren tersebut sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’, Khamis lepas.

Menurut KTMB, pihak penyewa berkenaan telah mematuhi syarat ditetapkan oleh pihaknya.

“KTMB telah menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia telah dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami.

“Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah.

Mengikut rekod, KTMB telah memperkenalkan perkhidmatan charter train sejak September 2021 kepada syarikat atau individu yang berminat untuk membuat sewaan tren khas.

“Perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Check Also
Close
Back to top button