KTMB tambah 26 tren khas Aidilfitri, sedia lebih 285,000 tempat duduk
KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah sebanyak 26 perjalanan tren tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 bagi menampung peningkatan mendadak jumlah penumpang.
KTMB berkata, tren tambahan itu akan beroperasi dari 17 hingga 29 Mac depan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 18 perkhidmatan melibatkan tren elektrik (ETS) dan lapan lagi perkhidmatan EMUPlus susulan tiket perkhidmatan sedia ada yang hampir habis terjual bagi tempoh berkenaan.
“Sepanjang tempoh operasi, tren ETS tambahan dan EMUPlus akan menyediakan 8,118 tempat duduk sehari termasuk pilihan Kelas Perniagaan, menjadikan jumlah keseluruhan 105,534 tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KTMB berkata, secara keseluruhan sebanyak 285,714 tempat duduk ditawarkan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri melibatkan 70 perjalanan sehari dengan purata 21,978 tempat duduk sehari.
Perkhidmatan ETS tambahan merangkumi lapan perjalanan laluan JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral, enam perjalanan Ipoh – KL Sentral – Ipoh, dua perjalanan Butterworth – KL Sentral – Butterworth serta dua perjalanan Padang Besar – KL Sentral – Padang Besar.
Perkhidmatan EMUPlus pula melibatkan lapan perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral – Ipoh.
Sebanyak 10 perjalanan ETS tambahan akan mula dijual pada 1 Mac 2026 jam 12 tengah hari, manakala baki 16 perjalanan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur akan beroperasi pada 18 Mac (KL Sentral – Tumpat) dan 22 Mac (Tumpat – KL Sentral) dengan tawaran 792 tiket termasuk koc tempat tidur.
Tambang sehala bermula RM80 bagi Kelas Superior, manakala tempat tidur Kelas Superior ditawarkan pada harga RM90 (katil atas) dan RM95 (katil bawah). Kelas Premier pula berharga RM95.
Bagi edisi Utara, tren khas laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral akan beroperasi pada 17 dan 22 Mac (KL Sentral – Padang Besar) serta 18 dan 23 Mac (Padang Besar – KL Sentral), menawarkan 1,200 tiket Kelas Superior pada kadar RM70 sehala.
KTMB menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan membuat pembelian tiket segera melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi syarikat atau mesin kios di stesen terpilih bagi mengelakkan kehabisan tiket pada saat akhir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







